KAJIAN TERHADAP FAKTOR PENYUMBANG TERHADAP PENCAPAIAN SIFAR UPSR DI SARAWAK : SATU KAJIAN TINJAUAN

Abdul Said Ambotang, Baharom Mohamad, Mohd Yusof Abdullah, Mohd Suhaimi Taat, Roslee Talip

said@ums.edu.my

Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti faktor penyumbang terhadap pencapaian sifar UPSR di sekolah yang terpilih. Banyak faktor yang mempengaruhi keputusan UPSR sekolah yang terlibat dalam kajian ini sehingga berprestasi sifar (0%). Keputusan yang pada tahap paling rendah ini telah menimbulkan persepsi yang negatif bahawa pihak sekolah khasnya guru-guru tidak mengajar dengan sepenuhnya. Dalam hal ini, hasil kajian menunjukkan bahawa kegagalan ataupun kejayaan murid-murid dalam akademik dan UPSR bukan hanya bergantung kepada usaha guru semata-mata malah melibatkan penyertaan semua pihak yang merangkumi Jabatan Pelajaran, pengurus sekolah, guru-guru, murid-murid, para ibu bapa dan lain-lain yang lagi secara unik dan holistik. Justeru itu, bagi menangani fenomena yang tidak sihat ini, setiap pihak atau individu harus membuat refleksi diri dan disusuli dengan tindakan penambahbaikan yang bukan sahaja kepada diri sendiri malah memberi impak yang positif kepada setiap insan terlibat.